BUKU CERITA. ( 5 Cerita )

1. CERITA BADABG PERKASA
2. KANCIL DENGAN BUAYA
3 .BATU BELAH BATU BERTANGKUP
4. TANGGANG ANAK DERHAKA
5. KANCIL DENGAN KURA-KURA

======MULA============MULA==========MULA========== MULA =====
CERITA BADANG PERKASA
       Pada suatu masa dahulu tinggal seorang pemuda yang bernama badang. Badang merupakan seorang pemuda yang rajin Pada suatu hari, pagi-pagi lagi Badang turun pergi menebas. Sebelum mula kerja menebas, Badang turun ke sungai untuk melihat lukah yang ditahannya. Namun, Badang terperanjat apabila melihat terdapat timbunan tulang ikan di tebing sungai berhampiran lukahnya. Badang dengan segera pergi mengangkat lukahnya.Dia mendapati lukahnya telah diusik orang. Di dalamnya tidak ada ikan, kecuali tinggalan sisik-sisik ikan. Dia berasa hairan. Badang menahan lagi lukahnya di tempat yang sama. Kemudiannya, dia pergi menyiapkan kerja. Seperti biasa apabila hari petang, Badang balik ke rumah tuannya. Dia tidak pergi melihat lukahnya pada waktu petang kerana lukah akan mengena pada waktu malam.
      Esoknya pula, Badang pergi menebas seperti biasa. Setelah sampai di tempat itu, Badang terus pergi ke anak sungai untuk melihat lukahnya. Sekali lagi, dia terperanjat kerana timbunan tulang ikan di tepi sungai itu bertambah banyak. Badang terus pergi mengangkat lukahnya. Dia mendapati lukahnya itu tiada ikan, kecuali sisik ikan sahaja yang tinggal. Badang bertambah hairan. "Siapakah yang makan ikan mentah?" dia bertanya dalam hatinya.
      Akhirnya, Badang mengambil keputusan ingin mengintai siapakah yang mencuri ikan di dalam lukahnya itu. Dia menahan semula lukah itu. Kemudian, dia pergi menebas seperti biasa. Apabila hari sudah senja, Badang tidak balik. Dia terus pergi bersembunyi untuk mengintai siapakah yang mencuri ikan di dalam lukah itu. Dia menyorok di sebalik semak. Apabila larut malam, datanglah satu lembaga. Matanya merah, bertaring panjang, berjanggut, dan berambut panjang.
      Muka lembaga itu sangat hodoh. Kukunya panjang. Lembaga itu mengangkat lukah lalu mengambil ikan-ikan di dalamnya. "Wah, hantu rupa-rupanya!" kata Badang di dalam hati. "Aku tidak takut kepada hantu itu!" ujar Badang lagi di dalam hatinya. Badang lalu memberanikan dirinya, walaupun berasa seram. Dia segera menerkam dan menangkap janggut lembaga itu. Berlakulah pergelutan. Namun, Badang tidak melepaskan lembaga itu. Akhirnya, lembaga itu mengaku kalah. Lembaga itu minta dilepaskan. Namun, Badang tidak melepaskan lembaga itu dengan begitu mudah.
      Lembaga itu merayu-rayu minta dilepaskan. "Kalau tuan hamba melepaskan hamba, hamba akan berikan apa sahaja yang tuan hamba mahu," ujar lembaga itu. Badang terfikir, "Betulkah janji lembaga ini?" Badang mahu menguji, adakah kata-kata lembaga itu benar? Badang cuba memikirkan apa yang dia mahu minta. Kalau minta banyak harta, nanti harta itu akan menjadi milik tuannya. Kalau minta isteri cantik, mungkin akan diambil oleh tuannya juga. Tetapi kalau minta jadi gagah perkasa, tentu boleh menolong tuannya untuk membersihkan hutan itu. "Baiklah! Aku mahu jadi gagah perkasa," kata Badang. "Kalau tuan hamba mahu jadi gagah, tuan hamba hendaklah makan muntah hamba," kata lembaga itu.
      Badang termenung dan berfikir sejenak. "Baiklah! Aku setuju. Cepat! Biar aku jadi gagah," kata Badang. Lembaga itu muntah di atas daun keladi yang ada di situ. Tanpa berlengah lagi, Badang pun makanlah muntah lembaga itu hingga habis. Lembaga itu minta dirinya dilepaskan. "Belum boleh lagi! Tunggu dulu," Badang berkata sambil tangannya masih lagi memegang janggut lembaga itu. Dia mengheret lembaga itu ke arah sebatang pokok besar. Badang cuba mengangkat pokok itu dengan sebelah tangannya. Pokok itu tumbang. Badang berasa sangat gembira hajatnya termakbul. Badang mengucapkan terima kasih kepada lembaga itu.
     Lembaga yang muka hodoh dan bertaring tadi tiba-tiba bertukar wajah menjadi manusia yang berambut putih dan berjanggut putih. "Aku bukanlah hantu sebagaimana yang kamu sangkakan. Aku datang untuk menolongmu. Kamu seorang yang cekal, tabah, dan jujur," kata lelaki tua itu. Kemudian dia ghaib daripada pandangan Badang. "Mungkin dia seorang alim!" fikir Badang. Badang bersyukur kepada Tuhan kerana memperoleh kekuatan yang luar biasa itu.
      Malam itu, Badang membersihkan semua hutan sebagaimana yang diarahkan oleh tuannya. Setelah selesai, dia pun pulang. Pada keesokannya, dia tidak pergi menebas lagi. Tuannya memanggil dan bertanya mengapa dia tidak pergi menebas. Badang memberitahu bahawa dia telah membersihkan hutan dan semak-samun tersebut. Tuannya, Orang Kaya Nira Sura itu tidak percaya apa yang diceritakan oleh Badang. Dia pergi ke hutan untuk melihat sendiri keadaan tanahnya.

      Orang Kaya Nira Sura hairan kerana hutan dan semak-samun itu memang telah habis dibersihkan oleh Badang. Orang Kaya Nira Sura berasa gembira kerana hutan di tanahnya sudah dibersihkan. Namun, dia berasa bimbang, kalau-kalau Badang mengapa-apakannya pula. Orang Kaya Nira Sura lalu mempersembahkan Badang kepada Raja Temasik. Maka Badang pun dibebaskan daripada tuannya. Sekarang Badang tinggal di istana Raja Temasik sebagai budak suruhan. Pada suatu hari, Pemaisuri raja mengidam mahu makan buah mempelam.
       Permaisuri menyuruh Badang mengambil buah mempelam muda. Badang tidak lengah-lengah lagi. Dia terus memanjat pokok mempelam di hadapan istana raja itu. Disebabkan buah mempelam itu berada di hujung ranting, dia terpaksa menghulurkan tangan untuk mengambil buah mempelam itu. Tiba-tiba dahan tempat Badang berpijak itu patah. Dia terjatuh ke tanah. Kepalanya terhempas ke batu. Batu besar di bawah pokok mempelam itu terbelah dua. Namun, kepala Badang tidak cedera. Permaisuri berasa hairan melihat kejadian itu. Permaisuri lalu pun memberitahu kejadian itu kepada raja. Raja datang menyaksikan sendiri.
      Baginda melihat batu besar di hadapan istana itu terbelah dua. Baginda sangat hairan akan peristiwa itu. Raja Temasik lalu mengangkat Badang sebagai pahlawan gagah perkasa. Kehebatan Badang tersebar di seluruh Temasik. Kemasyhuran itu turut tersebar ke Benua Keling. Maharaja Keling datang ke Temasik dengan membawa pahlawan yang kuat lagi perkasa dari negaranya. Pahlawan itu bergelar Pahlawan Gagah Perkasa. Pahlawan itu dibawa masuk untuk beradu kekuatan dengan Badang. Raja Temasik bersetuju pertandingan itu diadakan di hadapan pembesar-pembesar negara dan rakyat jelata. Maka tibalah hari yang ditetapkan.
     Hari pertandingan kekuatan di antara dua buah negara. Sementara menunggu masa dan ketika peraduan dimulakan, Pahlawan Gagah Perkasa dari Benua Keling itu duduk berhampiran dengan Badang. Dia lalu menindih paha Badang dengan pahanya secara bergurau. Namun, Badang boleh mengangkat paha pahlawan itu. "Wah, gagah sungguh Pahlawan Temasik ini!" ujar Pahlawan Gagah Perkasa itu dalam hatinya. Tetuang dibunyikan menandakan pertandingan akan dimulakan. Pahlawan Gagah Perkasa dari Benua Keling itu mula mengangkat batu di hadapan majlis raja-raja dan pembesar negara masing-masing. Dengan rasa megah pahlawan itu dapat mengangkat batu itu setinggi paras lututnya.
      Dia lalu membawa batu itu kehadapan raja dan diletakkannya di situ. Maharaja Keling dan para pembesar negara pun ketawa kerana gembira. Riuh rendah kedengaran. Akhirnya, sampailah masanya giliran Badang. Badang yang bertubuh kerdil berjalan masuk dengan lemah longlai menuju ke batu besar itu. Badang lalu mengangkat batu itu dan membalingnya ke Teluk Belanga. Pahlawan Gagah Perkasa Benua Keling berasa malu kerana tidak dapat menandingi kekuatan Badang yang sungguh gagah perkasa itu. Demikianlah kemasyhuran Badang sebagai seorang yang gagah perkasa pada zaman dahulu. Itulah sebabnya kemasyhurannya menjadi buah mulut yang dituturkan orang dari zaman ke zaman.

=================================================================

Sang Kancil Dengan Buaya

       Pada zaman dahulu Sang Kancil adalah merupakan binatang yang paling cerdik di dalam hutan. Banyak binatang-binatang di dalam hutan datang kepadanya untuk meminta pertolongan apabila mereka menghadapi masalah. Walaupun ia menjadi tempat tumpuan binatang- binatang di dalam hutan, tetapi ia tidak menunjukkan sikap yang sombong malah sedia membantu pada bila-bila masa saja.
       Suatu hari Sang Kancil berjalan-jalan di dalam hutan untuk mencari makanan. Oleh kerana makanan di sekitar kawasan kediaman telah berkurangan Sang Kancil bercadang untuk mencari di luar kawasan kediamannya. Cuaca pada hari tersebut sangat panas, menyebabkan Sang Kancil berasa dahaga kerana terlalu lama berjalan, lalu ia berusaha mencari sungai yang berdekatan. Setelah meredah hutan akhirnya kancil berjumpa dengan sebatang sungai yang sangat jernih airnya. Tanpa membuang masa Sang Kancil terus minum dengan sepuas-puasnya. Kedinginan air sungai tersebut telah menghilangkan rasa dahaga Sang Kancil.
       Kancil terus berjalan-jalan menyusuri tebing sungai, apabila terasa penat ia berehat sebentar di bawah pohon beringin yang sangat rendang di sekitar kawasan tersebut. Kancil berkata didalam hatinya "Aku mesti bersabar jika ingin mendapat makanan yang lazat-lazat". Setelah kepenatannya hilang, Sang Kancil menyusuri tebing sungai tersebut sambil memakan dedaun kegemarannya yang terdapat disekitarnya. Apabila tiba di satu kawasan yang agak lapang, Sang Kancil terpandang kebun buah-buahan yang sedang masak ranum di seberang sungai."Alangkah enaknya jika aku dapat menyeberangi sungai ini dan dapat menikmati buah-buahan tersebut" fikir Sang Kancil.
       Sang Kancil terus berfikir mencari akal bagaimana untuk menyeberangi sungai yang sangat dalam lagi deras arusnya. Tiba-tiba Sang Kacil terpandang Sang Buaya yang sedang asyik berjemur di tebing sungai. Sudah menjadi kebiasaan buaya apabila hari panas ia suka berjemur untuk mendapat cahaya matahari.Tanpa berlengah-lengah lagi kancil terus menghampiri buaya yang sedang berjemur lalu berkata " Hai sabahatku Sang Buaya, apa khabar kamu pada hari ini?" buaya yang sedang asyik menikmati cahaya matahari terus membuka mata dan didapati sang kancil yang menegurnya tadi "Khabar baik sahabatku Sang Kancil" sambung buaya lagi "Apakah yang menyebabkan kamu datang ke mari?" jawab Sang Kancil "Aku membawa khabar gembira untuk kamu" mendengar kata-kata Sang Kacil, Sang Buaya tidak sabar lagi ingin mendengar khabar yang dibawa oleh Sang Kancil lalu berkata "Ceritakan kepada ku apakah yang engkau hendak sampaikan".
      Kancil berkata "Aku diperintahkan oleh Raja Sulaiman supaya menghitung jumlah buaya yang terdapat di dalam sungai ini kerana Raja Sulaiman ingin memberi hadiah kepada kamu semua". Mendengar saja nama Raja Sulaiman sudah menggerunkan semua binatang kerana Nabi Sulaiman telah diberi kebesaran oleh Allah untuk memerintah semua makhluk di muka bumi ini. "Baiklah, kamu tunggu di sini, aku akan turun kedasar sungai untuk memanggil semua kawan aku" kata Sang Buaya. Sementara itu Sang Kancil sudah berangan-angan untuk menikmati buah-buahan. Tidak lama kemudian semua buaya yang berada di dasar sungai berkumpul di tebing sungai. Sang Kancil berkata "Hai buaya sekelian, aku telah diperintahkan oleh Nabi Saulaiman supaya menghitung jumlah kamu semua kerana Nabi Sulaiman akan memberi hadiah yang istimewa pada hari ini". Kata kancil lagi "Beraturlah kamu merentasi sungai bermula daripada tebing sebelah sini sehingga ke tebing sebelah sana".
      Oleh kerana perintah tersebut adalah datangnya daripada Nabi Sulaiman semua buaya segera beratur tanpa membantah. Kata Buaya tadi "Sekarang hitunglah, kami sudah bersedia" Sang Kancil mengambil sepotong kayu yang berada di situ lalu melompat ke atas buaya yang pertama di tepi sungai dan ia mula menghitung dengan menyebut "Satu dua tiga lekuk, jantan betina aku ketuk" sambil mengetuk kepala buaya begitulah sehingga kancil berjaya menyeberangi sungai. Apabila sampai ditebing sana kancil terus melompat ke atas tebing sungai sambil bersorak kegembiraan dan berkata" Hai buaya-buaya sekalian, tahukah kamu bahawa aku telah menipu kamu semua dan tidak ada hadiah yang akan diberikan oleh Nabi Sulaiman".
       Mendengar kata-kata Sang Kancil semua buaya berasa marah dan malu kerana mereka telah di tipu oleh kancil. Mereka bersumpah dan tidak akan melepaskan Sang Kancil apabila bertemu pada masa akan datang. Dendam buaya tersebut terus membara sehingga hari ini. Sementara itu Sang Kancil terus melompat kegembiraan dan terus meniggalkan buaya-buaya tersebut dan terus menghilangkan diri di dalam kebun buah-buahan untuk menikmati buah-buahan yang sedang masak ranum itu.

===============================================
Kancil dan Kura-kura.
          Kancil dan kura-kura sudah lama bersahabat.  Pada suatu hari mereka pergi menangkap ikan disebuah danau. Berjumpalah mereka dengan seekor kijang.  Kijang ingin ikut.  Lalu mereka pergi bertiga.
Sampai disebuah bukit mereka bertemu dengan seekor rusa.  Rusa juga ingin ikut.  Segera rusa bergabung
dalam rombongan.  Dalam perjalanan, disebuah lembah berjumpalah mereka dengan seekor babi hutan.  Babi hutan menayakan apakah ia boleh ikut.  "Tentu saja, itu gagasan yang baik, daripada hanya berempat lebih baik berlima," jawab kura-kura.

        Setiba di bukit yang berikutnya, berjumpalah mereka dengan seekor beruang.  Lalu mereka berenam
melanjutkan perjalanannya.  Kemudian mereka bertemu dengan seekor badak.  "Bagaimana kalau aku ikut,"
tanya badak.  "Mengapa tidak?", jawab semua.  Bahkan lalu bergabung pula seekor banteng.

       Kali berikutnya rombongan kancil bertemu dengan seekor kerbau yang akhirnya ikut serta.  Begitu pula ketika mereka bertemu dengan seekor gajah.  Demikianlah, mereka bersepuluh berjalan berbaris beriringan
mengikuti kancil dan akhirnya mereka sampai ke danau yang dituju.  Bukan main banyaknya ikan yang berhasil ditangkap.  Ikan kemudian disalai dengan mengasapinya dengan nyala api sampai kering.

      Keesokan harinya, beruang bertugas menjaga ikan-ikan ketika yang lainnya sedang pergi menangkap ikan.
Tiba-tiba seekor harimau datang mendekat.  Tak lama kemudian beruang dan harimau terlibat dalam
perkelahian seru.  Beruang jatuh pingsan dan ikan-ikan habis disantap harimau.

        Berturut-turut mereka kemudian menugasi gajah, banteng, badak, kerbau, babi hutan, rusa dan kijang,
semuanya menyerah.  Sekarang tinggal kura-kura dan kancil yang belum terkena giliran menunggu ikan.
Kura-kura dianggap tidak mungkin berdaya menghadapi harimau, maka diputuskanlah kancil yang akan menjaga.

         Sebelum teman-temannya pergi menangkap ikan, dimintanya mereka mengumpulkan rotan
sebanyak-banyaknya.  Lalu masing-masing dipotong kira-kira satu hasta.  Tak lama kemudian tampak kancil
sedang sibuk membuat gelang kaki, gelang badan, gelang lutut dan gelang leher.  Sebentar-sebentar kancil
memandang ke langit seolah-olah ada yang sedang diperhatikannya.  Harimau terheran-heran, lalu
perlahan-lahan mendekati si kancil.  Kancil pura-pura tidak mempedulikan harimau.

         Harimau bertanya, "Buat apa gelang rotan bertumpuk-tumpuk itu?".  Jawab kancil, "Siapa yang
memakai gelang-gelang ini akan dapat melihat apa yang sedang terjadi di lagit".  Lalu dia menengadah sambil
seolah-olah sedang menikmati pemandangan di atas. Terbit keinginan harimau untuk dapat juga melihat apa
yang terjadi di langit. Bukan main gembiranya kancil mendengar permintaan
harimau.  Dimintanya harimau duduk di tanah melipat tangan dan kaki.  Lalu dilingkarinya kedua tangan,
kedua kaki dan leher harimau dengan gelang-gelang rotan sebanyak-banyaknya sehingga harimau tidak dapat bergerak lagi.

       Setelah dirasa cukup, rombongan si kancil berniat kembali pulang ke rumah, akan tetapi mereka bertengkar  mengenai bagian masing-masing.  Mereka berpendapat, siapa yang berbadan besar akan mendapatkan bagian yang besar pula.  Kancil sebenarnya tidak setuju dengan
usulan tersebut.  Lalu dia mencari akal. Tiba-tiba melompatlah kancil dan memberi tanda ada marabahaya.  Semuanya ketakutan dan terbirit-birit melarikan diri.  Ada yang jatuh tunggang langgang, ada
yang terperosok ke lubang dan ada pula yang tersangkut akar-akar.  Salaipun mereka tinggalkan semua.  Hanya kancil dan kura-kura yang tidak lari.  Berdua mereka pulang dan berjalan berdendang sambil membawa bungkusan yang sarat.

*******
"Berkat kecerdasan tinggi, yang lemah jadi kuat dan yang ditindas jadi pemenang".

====================================================


Batu Belah Batu Bertangkup

            Kononnya, pada waktu dahulu ada sebuah gua ajaib di daerah sambas. Gua ini digelar batu belah batu bertangkup dan amat ditakuti oleh ramai penduduk kampung. Pintu gua ini boleh terbuka dan tertutup bila diseru dan sesiapa yang termasuk ke dalam gua itu tidak dapat keluar lagi.

            Suatu masa dahulu di sebuah kampung yang bernama pemangkat yang berdekatan dengan gua ajaib ini, tinggal Mak Tanjung bersama dua orang anaknya, Melur dan Pekan. Mak Tanjung asyik bersedih kerana baru kehilangan suami dan terpaksa menjaga kedua-dua anaknya dalam keadaan yang miskin dan daif.

Pada suatu hari, Mak Tanjung teringin makan telur ikan tembakul. Dia pun pergi ke sungai untuk menangkapnya. Bukan main suka hatinya apabila dapat seekor ikan tembakul.

"Wah, besarnya ikan yang mak dapat !" teriak Pekan kegembiraan.

" Ya, ini ikan tembakul namanya. Mak rasa ikan ini ada telurnya. Sudah lama mak teringin untuk memakan telur ikan tembakul ini," kata Mak Tanjung.

Mak Tanjung terus menyiang ikan tembakul itu. Dia pun memberikan kepada Melur untuk dimasak gulai.

" Masaklah gulai ikan dan goreng telur ikan tembakul ini. Mak hendak ke hutan mencari kayu. Jika mak lambat pulang, Melur makanlah dahulu bersama Pekan. Tapi, jangan lupa untuk tinggalkan telur ikan tembakul untuk mak," pesan Mak Tanjung kepada Melur.

Setelah selesai memasak gulai ikan tembakul, Melur menggoreng telur ikan tembakul pula. Dia terus menyimpan sedikit telur ikan itu di dalam bakul untuk ibunya. Melur dan Pekan tunggu hingga tengah hari tetapi ibu mereka tidak pulang juga. Pekan mula menangis kerana lapar. Melur terus menyajikan nasi, telur ikan dan gulai ikan tembakul untuk dimakan bersama Pekan.

" Hmmm..sedap betul telur ikan ini," kata Pekan sambil menikmati telur ikan goreng.

" Eh Pekan, janganlah asyik makan telur ikan sahaja. Makanlah nasi dan gulai juga," pesan Melur kepada Pekan.

" Kakak, telur ikan sudah habis. Berilah Pekan lagi. Belum puas rasanya makan telur ikan tembakul ini ," minta Pekan.

" Eh, telur ikan ini memang tidak banyak. Nah, ambil bahagian kakak ini," jawab Melur.

Pekan terus memakan telur ikan kepunyaan kakaknya itu tanpa berfikir lagi. Enak betul rasa telur ikan tembakul itu! Setelah habis telur ikan dimakannya, Pekan meminta lagi.

" Kak, Pekan hendak lagi telur ikan," minta Pekan kepada Melur.

" Eh , mana ada lagi ! Pekan makan sahaja nasi dan gulai ikan. Lagipun, telur ikan yang tinggal itu untuk mak. Mak sudah pesan dengan kakak supaya menyimpankan sedikit telur ikan untuknya ," kata Melur.

Namun, Pekan tetap mendesak dan terus menangis. Puas Melur memujuknya tetapi Pekan tetap berdegil. Tiba-tiba, Pekan berlari dan mencapai telur ikan yang disimpan oleh Melur untuk ibunya.

" Hah, rupa-rupanya ada lagi telur ikan! " teriak Pekan dengan gembiranya.

" Pekan! Jangan makan telur itu! Kakak simpankan untuk mak," teriak Melur.

Malangnya, Pekan tidak mempedulikan teriakan kakaknya, Melur dan terus memakan telur ikan itu sehingga habis. Tidak lama kemudian, Mak Tanjung pun pulang. Melur terus menyajikan makanan untuk ibunya.

" Mana telur ikan tembakul, Melur? " tanya Mak Tanjung.

" Err... Melur ada simpankan untuk mak, tetapi Pekan telah menghabiskannya. Melur cuba melarangnya tetapi...."

" Jadi, tiada sedikit pun lagi untuk mak? " tanya Mak Tanjung.

Melur tidak menjawab kerana berasa serba salah. Dia sedih melihat ibunya yang begitu hampa kerana tidak dapat makan telur ikan tembakul.

" Mak sebenarnya tersangat ingin memakan telur ikan tembakul itu. Tetapi...." sebak rasanya hati Mak Tanjung kerana terlau sedih dengan perbuatan anaknya, Pekan itu.

Mak Tanjung memandang Melur dan Pekan dengan penuh kesedihan lalu berjalan menuju ke hutan. Hatinya bertambah pilu apabila mengenangkan arwah suaminya dan merasakan dirinya tidak dikasihi lagi. Mak Tanjung pasti anak-anaknya tidak menyanyanginya lagi kerana sanggup melukakan hatinya sebegitu rupa.

Melur dan Pekan terus mengejar ibu mereka dari belakang. Mereka berteriak sambil menangis memujuk ibu mereka supaya pulang.

" Mak, jangan tinggalkkan Pekan! Pekan minta maaf ! Mak...." jerit Pekan sekuat hatinya.

Melur turut menangis dan berteriak, " Mak, Kasihanilah kami! Mak!"

Melur dan Pekan bimbang kalau-kalau ibu mereka merajuk dan akan pergi ke gua batu belah batu bertangkup. Mereka terus berlari untuk mendapatkan Mak Tanjung.

Malangnya, Melur dan Pekan sudah terlambat. Mak Tanjung tidak mempedulikan rayuan Melur dan Pekan lalu terus menyeru gua batu belah batu bertangkup agar membuka pintu. Sebaik sahaja Mak Tanjung melangkah masuk, pintu gua ajaib itu pun tertutup.

Melur dan Pekan menangis sekuat hati mereka di hadapan gua batu belah batu bertangkup. Namun ibu mereka tidak kelihatan juga.

Dan sampai sekarang tempat itu disebut tanjung batu yang terletak di Kecamatan Pemangkat.

=========================================================================
KISAH SI TANGGANG - ANAK DERHAKA.
              Si Talang dan Si Deruma merupakan bapa dan ibu kepada seorang anak lelaki yang bernama Si Tanggang. Mereka hidup sebagai keluarga nelayan di tepi pantai (dalam sesetengah versi: sungai). Kehidupan mereka amatlah miskin. Si Tanggang merupakan seorang kanak-kanak yang bercita-cita tinggi. Dia selalu berkhayal untuk menjadi kaya dan terkenal. Akan tetapi, keadaan hidupnya yang serba kekurangan dan ketiadaan peluang menjadi penghalang kepada cita-citanya.
             Pada suatu hari, ketika sudah meningkat usia, Si Tanggang terlihat sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai yang berhampiran dengan rumahnya. Si Tanggang pun pergi mencuba nasib, dia berjumpa dengan nakhoda kapal itu dan meminta untuk dijadikan anak kapalnya. Nakhoda kapal itu terus bersetuju kerana telah melihat kecekapan Si Tanggang bersampan dan bekerja.
Walaupun Si Talang dan Si Deruma amat keberatan untuk melepaskan Si Tanggang belayar mengikut kapal nakhoda itu, mereka terpaksa mengalah. Si Tanggang berjanji akan kembali ke kampung setelah menjadi kaya.
            Si Tanggang melakukan apa sahaja kerja yang diperintahkan oleh Nakhoda. Nakhoda amat suka dengannya kerana dia rajin bekerja. Lalu, Si Tanggang pun diambil sebagai anak angkat. Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda baru. Dia dipanggil Nakhoda Tanggang.
Si Tanggang memiliki kecekapan dalam berniaga. Dia menjadi kaya raya dan namanya menjadi terkenal. Namanya sampai ke telinga Sultan dan dijemput ke istana. Tidak lama kemudian, Sultan mengahwini puterinya dengan Si Tanggang. Si Tanggang membawa isterinya berlayar ke banyak tempat di merata negeri.
            Pada suatu hari, kapal Si Tanggang berlabuh di muara sungai kampung asal-usulnya. Orang kampung mengetahui nakhoda kapal itu Si Tanggang. Mereka pun memberitahu kepada orang tuanya.
Gembira dalam hati, Si Talang dan Si Deruma pun pergilah berkayuh sampan menuju ke kapal Nakhoda Tanggang. Apabila tiba di kapal, seorang anak kapal melarang mereka naik. Seketika kemudian, Si Tanggang muncul dengan isterinya. Si Tanggang malu melihat keadaan ibu dan bapanya yang daif di hadapan isterinya.     
            Si Talang dan Si Deruma memanggil-manggil Si Tanggang, akan tetapi dia berpura-pura tidak kenal mereka. Isterinya bertanya mengenai mereka, tetapi dia mengatakan bahawa ibu dan bapanya sudah tiada.
Si Tanggang menghalau ibunya dengan biadap. Si Talang dan Si Deruma berdayung ke tepi dengan perasaan sedih dan kecewa. Apabila tiba di daratan, Si Deruma memandang ke langit dan memengangkat kedua-dua belah tangannya, kemudian berseru, "Oh, Tuhan! Tunjukkanlah kepada Si Tanggang bahawa akulah ibu kandungnya."
           Tiba-tiba petir berdentum dan angin bertiup kencang. Kapal Si Tanggang terumbang-ambing akibat air yang bergelora. Ketika itulah, Si Tanggang berasa kesal. Dia sedar Tuhan telah memperkenankan doa ibunya. Dia akan menerima balasannya kerana telah menderhaka. Akhirnya, dia berteriak kepada ibunya supaya diampun. Akan tetapi, penyesalannya sudah tidak berguna lagi. Kapalnya pecah akibat dipukul oleh ombak yang kuat. Apabila ribut reda, Si Tanggang, isterinya, kapalnya, dan semua anak kapalnya telah bertukar menjadi batu.

=============================================================================